Renungan mata Noor Fadilah Habil atau nama manjanya Dila asal Klang Selangor cukup mempersona. Gadis manis bermata bundar ini lahir kira-kira 25 tahun yang lalu punya minat mendalam dalam bidang nyanyian. Bagi merealisasikan cita-cita tersebut Dila sering mengikuti aktiviti-aktiviti nyanyian sekitar bandar Klang mahupun Kuala Lumpur. Berketinggian sekitar 5'2'', pernah mencapai berat badan hampir 52 kilogram tetapi kini cuma tinggal 45 kilogram sahaja hasil usaha gigih bakal penyanyi ini. Dengan ukuran badan 34-25-34 dia berusaha mengekalkan bentuk badan yang sesuai dengan melakukan senaman tidak kira di mana saja meskipun ketika beliau sedang menikmati juadah makanan yang pedas-pedas kegemarannya. Gadis yang peramah dan senang diajak berbual ini sangat meminati penyanyi Fauziah Latif serta mengagumi pelakun dan model terkenal Nasha Aziz. "Saya suka Fauziah Latif kerana kelembutan wajah serta rentak lagu-lagunya sesuai dengan jiwa. Saya kerap membawakan lagu-lagu Fauziah Latif di mana-mana saja saya berpeluang menyanyi," katanya. "Nasha Aziz pula punya ciri-ciri wanita yang tabah meskipun di selubungi dengan berbagai-bagai dugaan serta cerita panas sepanjang kariernya namun dia tetap tenang mengharungi, lagi satu dia sangat cantik," ujar gadis berbintang Sagitarius ini lagi. Bercerita soal teman hidup dia yang mengaku hatinya sedang menanti insan yang benar-benar memahami jiwanya. Untuk itu Dila acapkali berhati-hati untuk menjalinkan hubungan kerana pengalaman lampau mengajarnya mengerti apa itu cinta. Dila juga berharap ditemukan seseorang yang punya personaliti, menghormati orang-orang tua serta tidak bersikap egois yang dapat membimbingnya dalam mengharungi bahtera rumahtangga.


